Thursday, 24 May 2012

ANALISA ISU: KEPUTUSAN NAIK PANGKAT


ANALISA ISU: KEPUTUSAN NAIK PANGKAT
Apabila  YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran mengumumkan 20,053 guru sekolah rendah dan sekolah menengah terlibat dengan kenaikan pangkat dan boleh disemak melalui web KPM maka ramailah terutama yang memohon berharap mendapatkannya. Maklumlah ini pertama kali dalam sejarah kalau tidak silap saya,  hal berkaitan naik pangkat boleh diketahui secara online. Tahniah KPM atas transformasi dan inovasi ini.
Barangkali dalam keghairahan untuk menyemak ada sebahagiannya lupa bahawa keputusan itu hanya untuk naik pangkat secara "Time-Base" bukannya untuk keputusan secara "pemangkuan". Maka yang mohon secara pemangkuan dan yang tidak cukup tempoh "Time Base" atau yang cukup tapi permohonan tidak lengkap atau tidak mohon atau tercicir maka tiadalah dalam senarai itu. Tempoh untuk melayakkan secara Time Base bagi  PPLD dan PPS sepertimana berikut :

PPLD : DGA29 – 3GA32 (8tahun) , DGA32 – DGA34 (8tahun) dan DGA34 – DGA38 (5tahun)
PPS : DG41 – DG44 (8tahun) ,DG44 – DG48 (8tahun) ,DG48 – DG52 (6tahun)  dan DG52 – DG54 (3tahun)

Harus dingatkan bila sebut sahaja naik pangkat maka segala syarat asas naik pangkat mesti sempurna seperti tarikh istihar harta, tiada tindakan tatatertib dan sebagainya lagi. Secara prinsip penyandang "Time Base" diberi secara KUP (Khas Untuk Penyandang) dan mereka kekal berada di tempat sekarang tanpa perlu berpindah. Jika ada jawatan hakiki yang setara dengan gred Time Base yang disandang mereka boleh dipertimbangkan untuk memegang jawatan hakiki seperti mana pelaksanaan DGA32 (KUP) dan DG48(KUP) sebagai Guru Penolong Kanan. Begitu juga mereka yang sudah memegang jawatan hakiki seperti GPK atau Guru Besar SKM DGA32 apabila mereka mendapat DGA34 (KUP) mereka akan kekal atas jawatan mereka sekarang kecuali jika ada keperluan untuk diamanahkan ke jawatan hakiki yang setara berasaskan kekesongan dan kehendak ketua jabatan.

Sukacita kita ingin mengingatkan GPK sekolah rendah yang memperolehi DGA34(KUP) bahawa jawatan hakiki anda sandang ialah bertaraf  DGA32. Oleh itu kuasa yang diberi oleh peraturan dan undang-undang tidak sama dengan jawatan hakiki Guru Besar gred DGA34. Kita tidak mahu mendengar apa-apa aduan mengenai GPK DGA34(KUP) bahawa mereka setaraf dengan Guru Besar dan ingkar perintah atau memperlekeh Guru Besar akibat ketidak fahaman tentang status ini. Dalam sistem kita yang digunapakai hari ini kuasa ditentukan oleh jawatan bukannya gred. Justru sampai bila-bilapun kuasa yang ada pada Guru Besar akan lebih tinggi daripada jawatan lain di sekolah atau apa gred yang ada di sekolah jika tiada perubahan dasar sedia ada. Ada suara dan desakan agar jawatan Guru Besar perlu diserasi dengan gred yang tinggi agar bukan sahaja setara dengan kuasa yang diberi tetapi juga sebagai penghormatan dan mengelakkan kekeliruan. Barangkali ada logiknya KPM mengkaji tranformasi perjawatan pengurusan sekolah rendah ini agar sesuai dengan perubahan tuntutan dan perkembangan semasa.

Setakat analisa ini ditulis dan apa yang kami tahu jawatan hakiki Pengetua yang tertinggi ialah Gred DG52 dan gred hakiki GPK Sekolah Menengah tertinggi ialah DG48. Gred Pengetua yang melebihi DG52 ialah Gred Cemerlang dan berstatus Khas Untuk Penyandang. Sementara gred hakiki tertinggi Guru Besar ialah DGA38 untuk semua Sekolah Kluster dan SBT dan gred tertinggi hakiki GPK ialah DGA34 (dalam proses pelantikan) untuk mereka yang ada di Sekolah Kluster dan SBT sahaja. Selain dari itu gred hakiki Guru Besar ialah DGA34 dan GPK ialah DGA32. Guru Besar atau GPK yang berada lebih tinggi dari gred itu diberi Khas Untuk Penyandang sama ada kerana dapat "Time Base", Guru Besar Cemerlang ataupun mendapat gred siswazah semasa berada dalam jawatan hakiki tersebut.

Kadang-kadang ramai lebih rela berada di gred Time Base kerana tidak mahu dibebani dengan tugas pentadbiran dan mereka juga mampu menikmati gaji yang lumayan. Tetapi jika mereka berhasrat mengejar kerjaya kenaikan pangkat dengan lebih cepat mereka perlu memilih laluan cemerlang atau pemangkuan kerana tempoh menunggu had kelayakan lebih pendek daripada Time Base. Terpulang kepada individu. Apa yang penting kita mampu memberi khidmat dalam apa jua posisi bukannya menyusahkan orang lain dan pengurusan sekolah dengan keegoan atau kedangkalan kita memahami hakikat kedudukan diri sendiri.

Selain kita berseronok dengan jawatan naik pangkat dan gaji baru yang lebih lumayan barangkali kita juga tidak harus melupakan  rakan seperjuangan yang masih belum tahu untung nasib diri. Ramai rakan guru kita dari kalangan pjj masih belum dilantik walaupun telah lulus dan diperakukan. Ada yang sudah menjangkau dua tahun walhal perkhidmatan hanya bersisa empat lima tahun sahaja lagi. Kita berharap KPM tidak memandang sepi khidmat dan pengorbanan mereka untuk menyahut transformasi bagi mempertingkatkan kualiti diri dan produktiviti perkhidmatan. Kita berharap dengan penjelasan ringkas kita memahami kedudukan yang sebenar dan jika anda mempunyai maklumat dan aviden yang sah dan sahih panjang-panjangkanlah untuk kita kongsi kerana kita tidak mahu kita tersesat dalam jaringan maklumat yang salah, penuh andaian dan persepsi yang mengelirukan.

No comments:

Post a Comment