Sejarah Sekolah

      
   Di Kampung Bukit Apit telah didirikan sebuah sekolah semenjak tahun 1920-an lagi yang dikenali sebagai Sekolah Rakyat. Tapak bangunannya ialah di mana didirikan bangunan Balai Raya Bukit Apit sekarang. Waktu itu murid-muridnya seramai kira-kira 70 orang dengan 4 orang tenaga pengajar.

   Sementara itu, dalam masa yang sama, Kampung Temala, Marang juga memperolehi sebuah Sekolah Rakyat yang bertapak di tapak bangunan Balai Raya Kampung Temala sekarang. 

   Memandangkan keadaan sekolah yang serba kekurangan, satu keputusan telah diambil dalam mesyuarat ahli-ahli mesyuarat jawatankuasa kedua-dua buah kampung untuk menyatukan kedua-dua buah sekolah yang berdekatan itu. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Maka, satu keputusan telah dicapai dengan masing-masing bersetuju tapak sekolah didirikan di Kampung Bukit Apit yang letaknya bersempadan dengan Kampung Temala. Oleh itu, dapatlah kanak-kanak dari kedua-dua buah kampung ini serta kampung yang berhampiran dihantar ke sekolah ini.

   Dengan itu, pada tahun 1955, wujudlah Sekolah Melayu Bukit Apit dengan satu blok bangunan bilik darjah yang menampung kira-kira 170 orang murid serta 8 orang guru di kawasan Sekolah Kebangsaan Bukit Apit sekarang ini. Sehingga tahun 1989, sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan dengan kemudahan-kemudahan asas yang lengkap serta memberi keselesaan kepada 186 orang murid serta 11 orang tenaga pengajarnya.

PANORAMA SK BUKIT APIT, AJIL TERENGGANU



1 comment: